fbpx
HAMILTON mahu pasukan Ferrari terus memberikan tumpuan penuh kepada pembinaan jentera lebih baik musim depan. - AFP

Khabar angin jejas tumpuan Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton mengakui khabar angin mengaitkan bekas Prinsipal Red Bull, Christian Horner dengan pasukan itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuan mereka.

Spekulasi mengenai masa depan Horner kembali hangat selepas laporan mendakwa beliau sudah mencapai persetujuan pampasan bersama Red Bull, sekali gus membuka laluan kembali ke Formula Satu (F1) tahun depan.

Horner dipecat oleh Red Bull selepas Grand Prix (GP) Britain pada Julai lalu dan namanya turut dikaitkan ke Ferrari bagi ‘merampas’ kerusi Frederic Vasseur.

Laporan terkini oleh Daily Mail mendakwa Pengerusi Ferrari, John Elkann sedang memancing Horner walaupun Vasseur baru sahaja menerima lanjutan kontrak selama beberapa tahun pada Julai lalu.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya khabar angin itu. Ia agak mengganggu kami kerana pasukan sudah pun menjelaskan pendirian mereka mengenai lanjutan kontrak Fred (Vasseur)

“Fred, saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk masa depan pasukan, jadi perkara seperti ini sememangnya tidak membantu. Saya tahu semua orang di kilang bekerja dengan amat gigih dan khabar angin sebegini boleh mengalih perhatian.

“Bagi saya, paling penting adalah terus fokus kepada matlamat untuk membangunkan jentera musim depan, membina asas kukuh supaya kami dapat tunjukkan prestasi dan pelaksanaan yang lebih baik,” kata Hamilton.

Dalam masa sama, desas-desus mengaitkan Horner ke Ferrari telah dinafikan sebagai tidak berasas oleh media-media Itali yang mendakwa tiada bukti wujudnya sebarang perbincangan antara kedua-dua pihak.

Spekulasi itu tercetus ketika Ferrari melalui musim 2025 yang amat mengecewakan kerana masih gagal memenangi sebarang perlumbaan selepas 18 perlumbaan GP musim ini, hanya meraih lima podium hasil usaha Charles Leclerc. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI