PETALING JAYA – Sebahagian besar kawasan di Semenanjung Malaysia serta beberapa bahagian di Sabah diramalkan dilanda ribut petir dan hujan lebat sehingga pukul 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, negeri terlibat adalah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Sabah.
“Antara kawasan terlibat seluruh Perlis dan Kedah termasuk Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu. Perak di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang serta Muallim,” kata MetMalaysia hari ini.
MetMalaysia berkata, bagi Kelantan, amaran hujan berterusan dikeluarkan di Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala Terengganu di Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Kata MetMalaysia, kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Kuantan, Bera dan Rompin di Pahang turut diramalkan mengalami cuaca buruk bagi tempoh sama.
Amaran cuaca buruk itu berterusan termasuk di Klang dan Petaling, Selangor serta Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, Johor.
Bagi negeri Sabah, Pedalaman (Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau), Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu) dan Sandakan. – KOSMO! ONLINE