CHANGLUN – Pekerja dan pelanggan sebuah stesen minyak di Taman Angsana, di sini berdepan detik cemas apabila sebuah kereta berpusing beberapa kali sebelum terbabas di hadapan premis tersebut, hari ini.
Menurut saksi, Kamarulzaman Lot, 42, kejadian kira-kira pukul 9.24 pagi itu turut mengakibatkan enjin kereta berkenaan tercabut dan hampir mengenai sebuah kereta lain yang berada di lokasi sama.
“Kejadian agak mencemaskan kerana kereta berkenaan berpusing berkali-kali sebelum terbabas ke premis ini. Lelaki dan wanita yang berada di dalamnya terselamat namun cedera, terutama pemandu lelaki yang tercampak keluar.
“Enjin kereta yang tercabut juga hampir terkena sebuah kereta lain yang turut berada di lokasi kejadian. Kalau sikit lagi tentu kena, alhamdulillah semua selamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pengurus premis itu berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kereta jenis Volkswagen itu cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba memasuki lorong kanan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri dipercayai akibat mengelak sebuah motosikal yang melintas.
“Pemandu dan penumpang kereta yang cedera dibawa ke hospital,” katanya. – KOSMO! ONLINE