KEMAMAN – Kegirangan sebuah keluarga berkelah bertukar tragedi apabila dua daripada ahli keluarga tersebut maut akibat lemas di Pantai Penunjuk Kijal, di sini, hari ini.
Seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Ursia Medina Didi, 12, berasal dari Ampang, Selangor dan ibu saudaranya, Norhidayah Zakaria, 39, dari Jitra, Kedah tidak sedarkan diri akibat lemas selepas mandi-manda di pantai peranginan tersebut pada pukul 4.15 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, Ursia Medina meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kijal, di sini pada pukul 5.23 petang, manakala Norhidayah menghembus nafas terakhir di Hospital Kemaman, di sini pada pukul 5.42 petang.
“Sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa mandi di pantai itu bersama lima lagi ahli keluarga sebelum mereka di tarik ombak ke tengah laut. Ia menyebabkan lima daripada mereka termasuk dua mangsa hampir lemas sebelum diselamatkan pengunjung lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE