PETALING JAYA – Perjalanan seorang ibu kepada tiga anak yang diberhentikan kerja oleh pengasas aplikasi penghantaran, kini bergelar usahawan makanan di Melaka.
Untuk rekod, wanita tersebut sebelum ini mencuri perhatian ramai selepas tular kerana menunggang motosikal sambil membawa anak-anak ketika bekerja sebagai penghantar makanan.
Tinjauan Kosmo! mendapati hanya selepas sehari memulakan perniagaan Gulai Perlis Ayam Goreng Kunyit laku keras selepas menerima lebih 100 tempahan melalui aplikasi penghantaran tempatan itu.
Rata-rata pelanggan yang membuat pesanan memuji cita rasa masakan yang dikatakan sedap dan berbaloi dengan harga berpatutan.
“Sedap ya walaupun harga cuma RM5,” komen seorang pelanggan di ruangan ulasan aplikasi berkenaan.
Seorang lagi pelanggan turut berkongsi pengalaman baik, memuji keenakan sambal belacan serta nasi gulai yang dikatakan menepati seleranya.
“Selepas ini, pasti akan repeat (ulang pesan) lagi,” komen Hajar di ruangan ulasan.
Insiden tersebut menjadi pembuka rezeki kepadanya apabila menerima sokongan dan simpati daripada masyarakat yang kagum dengan ketabahannya menambah pendapatan keluarga.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan ibu muda itu diberhentikan kerja atas faktor keselamatan selepas gambarnya membawa tiga anak kecil ketika melakukan penghantaran makanan tular di media sosial. -KOSMO! ONLINE