PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menegaskan keputusan menghantar barisan pemain elit ke Sukan SEA Thailand 2025 dari 9 hingga 20 Disember ini dibuat atas dasar maruah negara.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, langkah itu hasil perbincangan panjang bersama barisan kejurulatihan yang sebulat suara bersetuju menurunkan skuad terkuat.
“Kebetulan tahun ini tiada kejohanan besar, jadi ini peluang terbaik untuk memburu keputusan positif demi maruah negara. Sukan SEA berbeza daripada kejohanan lain kerana ia bukan sekadar tentang badminton, tetapi tentang maruah dan demi negara,” katanya.
Biarpun menyedari wujud perbezaan pandangan dalam kalangan peminat, Kenny menegaskan bahawa BAM perlu membuat satu ketetapan dan tanggungjawab itu terletak di bahu mereka.
“Saya faham memang ada yang setuju dan ada yang tidak, tapi akhirnya keputusan mesti dibuat dan tanggungjawab itu terletak pada pihak kami. Jurulatih berpendapat menghantar barisan elit adalah langkah terbaik buat ketika ini,” ujarnya.
Acara badminton Sukan SEA akan bermula dengan saingan berpasukan dari 7 hingga 10 Disember diikuti individu dari 11 hingga 14 Disember.
Dalam masa sama, Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 17 hingga 21 Disember, hanya beberapa hari selepas saingan badminton di temasya dwitahunan itu berakhir.
Namun, Kenny menjelaskan BAM sudah mengambil perkara itu dan memberi jaminan aspek logistik tidak menjadi masalah buat pemain yang layak ke kejohanan akhir musim berkenaan.
Antara nama besar memperkuat skuad negara termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta naib juara dunia beregu wanita di Paris, Pearly Tan-M Thinaah.
Pada Sukan SEA Kemboja dua tahun lalu, skuad badminton negara yang dibarisi pelapis gagal memenangi sebarang pingat emas apabila sekadar membawa pulang dua perak dan empat gangsa selain turut dimalukan Filipina di suku akhir berpasukan wanita. – KOSMO! ONLINE