fbpx
Mohamad Zulamirul Amir berjaya mentransformasikan kehidupannya daripada penerima zakat kepada pembayar zakat hasil bimbingan MAIPk.

Baiki telefon jana pendapatan 5 angka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Ketidaktentuan masa depan merupakan satu perkara yang pastinya merungsingkan apatah lagi bagi pencari rezeki utama keluarga.

Mohamad Zulamirul Amir Ya’acob, 34 berkata, tahun 2020 ketika pendemik Covid-19 melanda negara merupakan salah satu daripada saat sukar yang tidak akan dilupakan.

Jelasnya, ketika itu dia menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti menjual minuman bagi menyara keluarga namun ia masih belum memadai.

“Disebabkan kekangan kewa­ngan, saya berhadapan masalah termasuk tidak mampu membayar sewa rumah. Alhamdulillah, nasib kami sekeluarga mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Tahun itu, kami menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan selama setahun, yang membolehkan saya melunaskan bayaran sewa bulanan rumah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, tidak mahu bergantung kepada bantuan MAIPk semata-mata, dia mula berusaha mengubah nasib dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan lain iaitu membaiki telefon pintar.

Katanya, dia terus menerima bimbingan MAIPk dan beroleh peluang menyertai Kursus Menjana Membaiki Smartphone anjuran majlis agama Islam tersebut di Hotel Symphony, Ipoh selama tiga hari pada Disember tahun lalu.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, dia turut terpilih untuk menyertai latihan secara jangka panjang selama empat bulan di bawah program Proper A MAIPk.

“Bukan itu sahaja, saya turut diberi kesempatan menyertai Seminar Hijrah Minda Proper A, juga anjuran MAIPk di Cherengin Hills Convention & Spa Resort di Janda Baik, Pahang pada Jun lalu.

“Ilmu yang dipelajari pada kursus-kursus tersebut menambah pengetahuan dan kemahiran saya dalam membaiki telefon. Bidang itu kini menjadi punca rezeki saya,” katanya.

Mohamad Zulamirul Amir yang juga pemilik ZA Phonemedic berkata, di awal pembabitannya membaiki telefon, dia beroleh pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan namun kini angka itu telah melonjak sehingga mampu mencecah RM10,000 sebulan.

“Saya juga menerima motosikal daripada MAIPk bagi menjalankan perniagaan secara mobile. Bukan itu sahaja, kami peserta Proper A seramai 25 orang turut wujudkan jaringan perniagaan yang membantu antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, program-program anjuran pihaknya mengambil pendekatan yang menekankan aspek keusahawanan berteraskan nilai Islam, bimbingan berterusan serta pemantauan menyeluruh.

“Hasilnya, pelbagai program pembangunan usahawan kini me­nunjukkan impak tinggi yang me­ningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf. Bahkan ia turut menyumbang kepada kesejahte­raan sosial dan kemakmuran ne­geri Perak secara keseluruhannya.

“Ini selari dengan flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI