KUALA LUMPUR – Perpaduan antara kaum perlu terus diperkukuh bagi memastikan kemajuan negara dapat dicapai secara menyeluruh dalam kerangka Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama dalam meraikan perayaan bersama seperti Deepavali merupakan keunikan Malaysia yang tidak terdapat di negara lain.
“Perpaduan adalah asas kepada kemajuan ekonomi, sosial dan budaya. Ia hanya dapat dicapai dengan keamanan, kestabilan serta keseimbangan dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani di KL Sentral, di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau menegur tindakan pihak tertentu yang cuba memanipulasi isu pembangunan seperti projek LRT Pulau Pinang dan peluasan lapangan terbang di negeri itu termasuk di Kota Bharu serta Tawau dengan naratif perkauman sempit.
“Segala keputusan dibuat berdasarkan keperluan dan manfaat kepada semua rakyat, bukan kepada mana-mana kaum. Rakyat mesti lebih bijak dan berpegang kepada maklumat benar, bukan dipesongkan oleh hasutan kaum,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat berwaspada terhadap ancaman ekstremisme sayap kanan yang kini meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat kerana boleh menggugat keharmonian negara sekiranya dibiarkan. – KOSMO! ONLINE