LONDON – Pengendali Nottingham Forest, Ange Postecoglou mengakui aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Chelsea malam ini dianggap sebagai detik penentu masa depannya selepas gagal meraih sebarang kemenangan sejak mula membimbing pasukan bulan lalu.
Difahamkan, pengurusan Forest yang diketuai oleh pemilik, Evangelos Marinakis masih lagi memberikan talian hayat buat Postecoglou selepas dilantik bagi mengisi kekosongan Nuno Espirito Santo awal musim ini.
Menurut laporan, Marinakis sudah menyediakan ‘pelan B’ untuk melantik bekas pengurus Burnley dan Everton, Sean Dyche sekiranya Postecoglou gagal membantu pasukan kembali berada di landasan kemenangan dalam masa terdekat.
Namun, jurulatih dari Australia itu mengakui tidak tertekan dengan situasi semasa, sebaliknya percaya pasukan mampu meraih keputusan positif tidak lama lagi.
“Saya tidak faham kenapa ada pihak yang mahu menilai kerja yang saya lakukan kurang daripada empat minggu dan selepas tujuh perlawanan.
“Saya enggan menyalahkan mereka tetapi saya menerima tawaran untuk mengendalikan pasukan ini kerana mahu sahut cabaran selain optimis pasukan ini mampu berjuang.
“Justeru, saya harap kita kembali dapat keputusan positif dan cuba untuk berikan yang terbaik buat penyokong nanti,” katanya. – AGENSI