PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan menerima 220 perjawatan baharu dengan keutaaman diberikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah itu bukan sahaja menambah kekuatan tenaga kerja tetapi turut membawa masuk pengalaman dan disiplin tinggi dalam kalangan bekas anggota tentera.
Beliau berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 itu adalah sebahagian usaha kerajaan memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.
“Selepas pengumuman itu dibuat, saya sendiri menerima banyak pertanyaan daripada bekas anggota tentera. Ada yang datang terus ke pejabat hantar ‘resume’.
“Dalam kalangan mereka ini bukan calang-calang kerana ada yang berpangkat Kolonel, Leftenan Kolonel dan Mejar,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS di sini, semalam.
Katanya, kehadiran veteran ini dilihat sebagai langkah strategik kerana mereka mempunyai pengalaman luas dari aspek disiplin, pertahanan dan keselamatan negara.
Mohd Suhaily berkata, pengambilan tersebut akan dibuat berdasarkan model Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di mana ia berbentuk kontrak perkhidmatan, bukannya lantikan tetap sebagai penjawat awam. – KOSMO! ONLINE