KULIM – Seramai 158 mangsa banjir di daerah ini dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kesemua mangsa daripada 45 keluarga itu adalah dari empat kampung yang terjejas iaitu Kampung Sungai Limau, Kampung Batu 5, Kampung Batu 6 dan Kampung Paya Tok Betok.
“PPS pertama dibuka di Surau Al-Shahidin, Taman Sang Kancil kira-kira pukul 8.30 malam tadi diikuti PPS kedua di Dewan Kampung Paya Tok Betok pada pukul 11 malam.
“Sehingga pukul 8 pagi tadi, seramai 143 mangsa berlindung di PPS Surau Al-Shahidin manakala 15 lagi di Dewan Kampung Paya Tok Betok,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, paras air Sungai Janing di Kampung Labi (F2), Padang Terap telah melebihi tahap amaran dengan trend menaik sehingga pukul 7 pagi tadi, manakala di Sungai Ketil di Kampung Bongor (F2), Baling melepasi tahap waspada setakat 6.45 pagi.
Kosmo! Online malam tadi melaporkan sekurang-kurangnya lima kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan selama dua jam bermula pukul 5 petang semalam.
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Padang Tembak, Taman Seri Kulim, Kampung Seri Kulim, Kampung Taman Kancil di Lunas dan Kampung Padang Limau. – KOSMO! ONLINE