PETALING JAYA – Sebanyak 102 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor diberi kebenaran untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan bekerja dari rumah (BDR) sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pelaksanaan PdPR dan BDR itu bermula 23 Oktober sehingga 29 Oktober depan.
Jelas KPM, kebenaran tersebut setelah mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
“Ia bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid di semua sekolah terlibat tidak terjejas.
“Ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terlibat dinasihatkan untuk merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR dan BDR,” kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, KPM berkata, pengalaman melaksanakan PdPR dan BDR sewaktu pandemik serta semasa penganjuran Sidang ASEAN pada bulan Mei lalu dapat memastikan kelangsungan proses pembelajaran dan pada waktu sama aspek kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah terpelihara. – KOSMO! ONLINE