JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menerima kelulusan bagi pembinaan 10 buah sekolah baharu di negeri ini yang dirancang bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, 10 buah itu melibatkan tiga sekolah rendah, enam sekolah menengah dan sebuah kompleks sekolah (gabungan sekolah rendah dan menengah).
Menurut beliau, JPNJ akan mengambil pendekatan teliti dan berasaskan data dimana setiap cadangan pembinaan sekolah baharu dikemukakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdasarkan keperluan di kawasan tertentu.
“Perkara itu akan dilaksana mengikut Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia terbitan PLANMalaysia di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan tahun 2022.
“Kerajaan negeri sebenarnya memohon 18 buah sekolah baharu, bagaimanapun kelulusan yang diberikan adalah melibatkan 10 buah sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Aznan, kelulusan pembinaan setiap sekolah baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada penelitian agensi pusat serta kemampuan kewangan semasa kerajaan Persekutuan.
Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan Madani 2026 mengumumkan pembinaan sebanyak 38 sekolah baharu dengan 10 daripada di negeri ini. – KOSMO! ONLINE