fbpx
MALAYSIA mahu menebus kekalahan di tangan Great Britain kelmarin dengan kemenangan ke atas India petang ini. - MHC

Young Tigers buru kemenangan maruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD hoki remaja negara berazam menamatkan aksi liga sepusingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 dengan keputusan positif meskipun bakal menentang India di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru petang ini.

Selepas empat perlawanan tidak konsisten termasuk kekalahan 2-4 kepada Great Britain kelmarin, barisan muda bimbingan Nor Saiful Zaini mahu bangkit menunjukkan karakter sebenar sebelum aksi penentuan kedudukan hujung minggu ini.

Jurulatih berpengalaman itu mengakui tugas menentang India bukan mudah memandangkan lawan tampil dengan reputasi besar antara kuasa utama hoki Asia dan dunia.

“Kita dapatkan rehat secukupnya untuk perlawanan dengan India. Kita juga tahu India adalah pasukan yang bagus kerana rata-rata pemain mereka beraksi dalam Liga Pro FIH, Liga India dan turut berpengalaman menentang pasukan-pasukan handalan Eropah.

“Jadi memang sukar untuk Malaysia bermain menentang India, namun kita akan kaji kekuatan, kelemahan mereka dan cuba turun dengan persembahan terbaik,” kata Nor Saiful.

Dalam empat aksi terdahulu, Malaysia tewas 2-7 kepada Pakistan, seri 1-1 dengan Australia, bangkit membenam New Zealand 4-2 sebelum dikecewakan Great Britain 2-4.

Keputusan itu menyukarkan peluang Young Tigers mara ke final kerana hanya dua pasukan teratasakan melangkah ke perlawanan akhir, manakala tempat ketiga dan keempat bakal bersaing merebut pingat gangsa.

Bagi Nor Saiful, tumpuan utama bukan lagi pada kedudukan carta, sebaliknya memastikan skuad muda negara bersedia menghadapi cabaran sebenar pada Piala Dunia Remaja 2025 di Chennai-Madurai, India bermula 28 November hingga 10 Disember depan.

“Sukar untuk kita ke pusingan akhir. Apa yang penting kita bermain baik, tunjukkan prestasi mantap dan jadikan baki perlawanan sebagai persiapan terbaik ke Piala Dunia nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI