KANGAR – Seorang wanita Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat kira-kira 1.7 kilogram di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, minggu lalu.
Pertuduhan ke atas Kittiya Chiayaphuek, 27, dibacakan di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Dia didakwa mengedar 657 gram dan 1,078 gram kanabis di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang di Kompleks ICQS Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 6.15 petang, 8 Oktober lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nurul Idayu Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 Januari tahun depan sementara menunggu dokumen sokongan daripada pihak pendakwaan.
Tertuduh diperintahkan ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah sementara menunggu prosiding lanjut di Mahkamah Tinggi.
Difahamkan, wanita terbabit masuk ke negara ini dengan menaiki sebuah motosikal tambang sebelum melalui melalui mesin pengimbas dan diminta membuka beg galas.
Pemeriksaan lanjut menemui sebahagian dadah tersebut disembunyikan di dalam bekas kuih bulan serta bungkusan biskut. – KOSMO! ONLINE