KUALA PILAH – Seorang bekas pekerja syarikat pembersihan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, atas kesalahan membawa senjata berupa pisau di tempat awam dalam kejadian di Jalan Yamtuan Raden, di sini, Julai lalu.
Tertuduh, Noisyam Ismail, 41, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.
Berdasarkan pertuduhan, telah didapati dalam milikan tertuduh senjata berbahaya iaitu sebilah pisau berhulu plastik berukuran panjang kira-kira 20 sentimeter (cm) di tempat awam tanpa maksud yang sah atau mempunyai kebenaran yang sah dari pihak berkuasa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.50 malam di kawasan tempat letak motosikal di Jalan Yamtuan Raden, di sini, pada 6 Julai lalu.
Oleh itu, tertuduh berdepan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu iaitu seorang wanita pada tarikh, masa dan lokasi yang sama keluar dari kedai menuju ke motosikal, terdapat tertuduh tiba-tiba berada di hadapan mangsa, lalu telah menaiki motosikal pengadu di bahagian belakang.
Tertuduh telah mengacukan sebilah pisau ke arah perut pengadu dan mengarahkan pengadu senyap serta mengerakkan motosikal.
Pengadu yang ternampak dua lelaki menyedari kejadian itu terus turun dari motosikal serta berlari ke kedai semula, sementara tertuduh pula melarikan diri.- KOSMO! ONLINE