PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membiayai sepenuhnya pengajian Muhammad Ashraf Saipul Nizam, yang berhenti belajar dan berniaga sanwic bagi menyara ibu dan bapanya yang sakit.
Ia meliputi wang saku bulanan sebanyak RM800, sepanjang tempoh Muhammad Ashraf menuntut di UniKL.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut menghulurkan bantuan.
“Saya sendiri telah menelefon Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya, dan Presiden UniKL, Prof Ir Dr Azman Senin.
“Alhamdulillah keduanya akan bantu untuk memberikan bantuan termasuk kepada ibu bapa Ashraf, manakala UniKL akan uruskan untuk beliau kembali menyambung pengajian,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Menerusi hantarannya itu, beliau turut berkongsikan video pertemuannya dengan Muhammad Ashraf yang turut disertakan paparan keratan akhbar Kosmo!, mengenai kisah remaja berkenaan, semalam.
Asyraf Wajdi memberitahu, beliau telah bertemu dengan Muhammad Ashraf selepas remaja itu selesai menjual sanwic di hadapan Perkhidmatan Transit Aliran Massa, Bukit Bintang hari ini.
“Adik Ashraf terpaksa berhenti belajar di UniKL kerana hendak menyara ibu dan bapanya yang sakit terlantar di rumah PPR, Cheras.
“Pagi tadi selepas selesai mesyuarat di Putrajaya saya terus singgah di lokasi beliau berniaga di Bukit Bintang dan terus mengajaknya minum bersama untuk mengetahui cerita sebenar,” ujarnya.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang pemuda terpaksa melupakan sementara impiannya untuk menyambung pengajian di universiti selepas diuji dengan masalah kewangan dan menjual makanan di kaki lima bagi menampung kehidupan.
Muhammad Ashraf, 23, yang menuntut di UniKL dalam jurusan pentadbiran perniagaan mengambil langkah berat itu kerana bapanya tidak lagi bekerja disebabkan sakit, selain ibunya yang turut berdepan masalah kesihatan.
Katanya, dia menuntut di UniKL sejak Mac tahun lalu, namun terpaksa berhenti pada akhir Jun tahun sama. – KOSMO! ONLINE
@drasyrafwajdiBERHENTI BELAJAR SEBAB… “Bila ayah pula sakit dia berhenti kerja, saya terpaksa korbankan dulu belajar untuk tanggung perbelanjaan rumah dan kos perubatan Mak yang tak boleh bangun sebab stroke dan jadi OKU sejak saya berumur 4 tahun”. Jelas Adik Muhammad Ashraf Saipul Nizam ketika minum bersama pagi tadi, sejurus selepas beliau selesai menjual roti sandwich di hadapan MRT Bukit Bintang. Kisah yang menyayat hati saya perihal Adik Ashraf ini dimaklumkan oleh seorang kenalan wartawan yang berkongsi pautan berita yang tersebar. Adik Ashraf terpaksa berhenti belajar di UniKL kerana hendak menyara ibu dan bapanya yang sakit terlantar di rumah PPR, Cheras. Pagi tadi selepas selesai mesyuarat di Putrajaya saya terus singgah di lokasi beliau berniaga di Bukit Bintang dan terus mengajaknya minum bersama untuk mengetahui cerita sebenar. InsyaAllah, saya sendiri telah menelefon CEO Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, dan Prof Ir Dr Azman Senin Presiden UniKL. Alhamdulillah keduanya akan bantu untuk memberikan bantuan termasuk kepada ibubapa Ashraf, manakala UniKL akan uruskan untuk beliau kembali menyambung pengajian. MARA akan membiayai sepenuhnya pengajian Ashraf termasuk wang saku bulanan RM800, sepanjang beliau di UniKL nanti. Saya beritahu Ashraf, apa jua cabaran jangan sesekali putus asa untuk belajar kerana hanya ilmu sahaja boleh merubah kehidupan. #MerakyatkanMARA #HidupKuMilikUmmah #HidupBiarBerjasa #MARA♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki