KUALA LUMPUR – Dua daripada lima trak bantuan kemanusiaan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dilaporkan berjaya memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan Rafah selepas pintu sempadan itu dibuka pada Rabu lalu.
Pengurus Kanan Projek MyCare, Kamarul Halim Sakrani berkata, konvoi bantuan tersebut merangkumi empat trak membawa 80 tan tepung dan satu trak lagi memuatkan 1,000 pek makanan dengan keseluruhan nilai sumbangan dianggarkan berjumlah RM360,000.
Beliau berkata, rakan badan bukan kerajaan (NGO) MyCafe, Al-Khyr memaklumkan dua trak pertama membawa 40 tan tepung berjaya melepasi sempadan Rafah semalam dan kini ditempatkan di sebuah gudang di selatan Gaza.
“Agihan bantuan itu dipantau oleh Pengurus Besar MyCare di Gaza, Dr. Ziad Shehada, bagi memastikan bantuan sampai kepada keluarga yang terjejas akibat konflik berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan pembukaan lintasan Rafah itu juga, MyCare telah merancang beberapa projek kemanusiaan di Gaza yang akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula Oktober 2025 hingga September 2026 di bawah seliaan Dr. Ziad.
Menurutnya, antara projek yang bakal dijalankan termasuk klinik bergerak, tempat perlindungan sementara, penyelenggaraan telaga air, pemasangan panel suria, pemulihan prasarana pendidikan, pengagihan pek makanan, air minuman bersih, susu bayi, serta projek penjanaan pendapatan untuk penduduk tempatan.
Katanya, keseluruhan projek itu dianggarkan bernilai RM9 juta, dengan tempoh pelaksanaan antara tiga hingga enam bulan melibatkan bantuan segera seperti makanan, air bersih dan tempat perlindungan, diikuti fasa pemulihan jangka panjang.
“MyCare kekal komited meneruskan usaha kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang kini bukan sahaja menjadi mangsa serangan dan genosid selama dua tahun, malah berdepan kebuluran teruk akibat sekatan berpanjangan,” katanya.
Sejak konflik meletus pada 7 Oktober 2023, MyCare telah menyalurkan lebih RM27 juta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Daripada jumlah itu, 80 peratus disalurkan terus ke Gaza, manakala selebihnya diagihkan kepada rakyat Palestin di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan pelarian Palestin di luar negara. – KOSMO! ONLINE