SHAH ALAM – Nasib penduduk terutama di Sijangkang, Kuala Langat dekat sini yang terjejas akibat ribut terus dibela apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM64,000 sebagai bantuan bencana.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu akan disalurkan kepada 64 ketua keluarga yang mengalami kerosakan rumah akibat kejadian berkenaan dengan setiap keluarga menerima RM1,000.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengesan seramai 14 penduduk termasuk 1 pegawai pusat khidmat yang mengalami kecederaan akibat
kejadian ribut itu.
“Mereka sedang dirawat di hospital kerajaan dan masing-masing akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 seorang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Amirudin turut memaklumkan, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM320,000 bagi membaiki kerosakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.
Ujarnya, peruntukkan dari Tabung Bencana Negeri tersebut bagi memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dengan selamat.
“Komitmen ini adalah tambahan kepada bantuan awal yang telah pun disalurkan oleh agensi negeri seperti Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada enam buah sekolah, pusat khidmat dan keluarga mangsa ribut. – KOSMO! ONLINE














