fbpx
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah ketika menyantuni murid-murid SRA Kampung Medan yang terjejas akibat ribut itu dan Muhammad Darish Isyraf Roshamri menunjukkan luka pada pergelangan tangannya. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Ribut: ‘Ya Allah, selamatkan kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – “Ya Allah, selamatkan kami, tolonglah selamatkan keluarga kami,”

Itulah antara doa yang tidak putus-putus diungkapkan 15 murid dan seorang ustazah yang terperangkap dalam surau Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, Telok Panglima Garang ketika ribut dan pusaran angin membadai bangunan itu.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika kesemua murid tahun enam itu sedang menjalani latihan nasyid dan mengaji sebagai persediaan majlis khatam al-Quran minggu depan.

Menurut Ustazah Noor Azizah Qamari, 54, pada mulanya dia menyangka adalah ribut biasa namun bertukar cemas apabila pusaran angin menyerbu dari setiap arah dan menggegar struktur surau.

Katanya, situasi cemas itu berlaku dalam tempoh lima minit dengan kesemua kami hanya mampu tunduk dan berkumpul di bahagian ruang tengah dalam surau.

“Suasana digambarkan seperti dalam ‘mesin basuh’ apabila kaca dan serpihan zink berterbangan ke arah kami.

“Masa itu, saya suruh semua murid membaca apa sahaja doa terlintas. Ada yang sebut Ya, Allah selamatkan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Dia yang telah sembilan tahun mengajar di SRA berkenaan memaklumkan, insiden itu adalah pertama kali dihadapinya yang sebelum ini hanya berlaku di luar negara.

“Saya sendiri berfikir seperti tiada harapan ketika itu melihat keadaan yang menakutkan itu. Syukur, Alhamdulillah anak-anak murid selamat,” katanya.

Insiden tersebut telah menyebabkan 13 murid cedera ringan termasuk di bahagian kepala dan tangan akibat terkena serpihan kaca.

Sementara itu, seorang murid, Muhammad Farish Nazriel, 12, memaklumkan dia sedang membaca al-Quran ketika angin kuat tiba-tiba menerjah surau.

“Tiba-tiba hujan lebat dan terus ribut. Zink-zink jatuh, kami semua duduk di tengah-tengah sambil berdoa. Saya doa kepada Allah supaya selamatkan kami dan keluarga,” katanya yang tinggal di Taman Sijangkang Jaya.

Rakannya pula, Muhammad Darish Isyraf Roshamri, 12, pula berkata, dia hanya mampu memeluk kaki dan bertawakal ketika ribut mengganas.

“Tidak boleh lari ke mana. Saya sangat takut masa tu, cuma duduk dan doa. Bila reda baru kami keluar berkumpul di depan kelas bersebelahan surau,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI