SHAH ALAM – Polis membuka kertas siasatan membabitkan seorang murid tahun satu yang tular dipukul oleh dua pelajar tahun tiga di kantin sebuah sekolah di Seksyen 32, di sini, kelmarin.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika waktu rehat persekolahan tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada pukul 9.51 malam, kelmarin berhubung insiden berkenaan.
“Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kini dirawat di Hospital Shah Alam dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
“Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-513 0450 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang murid lelaki tahun satu di sebuah sekolah di Seksyen 32, di sini terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli kepada tiga murid darjah tiga ketika waktu rehat.
Mangsa didakwa dipijak berkali-kali oleh salah seorang pelaku di bahagian perut, dada dan kaki selain mulutnya ditekup serta diugut akan dicekik sekiranya melawan atau menjerit.
Seorang lagi murid dipercayai bertindak sebagai pemerhati manakala seorang lagi cuba menconteng baju anaknya dalam kejadian itu. – KOSMO! ONLINE