ALOR SETAR – Ibu bapa diminta untuk sentiasa mengambil tahu dan memeriksa setiap kandungan yang dilayari anak masing-masing menerusi gajet bagi mengelak mereka terdedah kepada bahan berunsur lucah, keganasan serta pengaruh negatif.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, bahan-bahan tersebut boleh merosakkan akhlak dan pemikiran terutama kepada kanak-kanak dan remaja.
“Anak-anak boleh melayari apa sahaja kandungan menerusi telefon pintar, jadi ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa apa yang dilayari anak ketika di rumah. Banyak kes (rogol) berlaku, jadi kita jadikan pengajaran,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa juga diminta untuk memantau pergerakan anak masing-masing termasuk tidak membiarkan mereka keluar rumah sewenang-wenangnya terutama pada waktu malam.
“Bila anak-anak ini keluar malam tanpa pengawasan ibu bapa, mereka ini terdedah kepada aktiviti tidak bermoral, justeru peranan ibu bapa atau penjaga dalam mengawal anak-anak ini sangat penting,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, pihak polis dan Kementerian Pendidikan (KPM) juga sentiasa bekerjasama dalam memantau keselamatan serta menangani sebarang isu berkaitan pelajar sekolah.
“Polis mempunyai pegawai perhubungan sekolah di setiap sekolah. Kita akan melakukan lawatan ke sekolah dan asrama dari semasa ke semasa termasuk pada waktu malam,” jelasnya.
Katanya, pihaknya juga telah mengenal pasti 30 buah sekolah seluruh negeri ini untuk diberi tumpuan.
“Anggota akan masuk ke sekolah termasuk menggunakan kereta peronda pada waktu tertentu seperti selepas sesi persekolahan. Sebagai contoh, pergaduhan mungkin boleh berlaku di tempat menunggu bas dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya dengan kerjasama rapat ibu bapa, pihak sekolah, KPM dan polis mampu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini berlaku.
Akhbar ini semalam melaporkan empat remaja termasuk dua pelajar tingkatan tiga dan seorang tingkatan lima sebuah sekolah di daerah Baling dekat sini ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rogol pelajar berusia 15 tahun di beberapa lokasi termasuk di dalam kelas dan ladang kelapa sawit sejak Mei lalu.
Seorang lagi suspek merupakan remaja lelaki 15 tahun yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin. – KOSMO! ONLINE