KUALA LUMPUR – Suasana di beberapa lebuh raya utama negara mula sibuk menjelang petang ini apabila orang ramai dilihat mula bergerak pulang ke kampung sempena sambutan Deepavali dan cuti tambahan persekolahan bermula hujung minggu ini.
Tinjauan Kosmo! pada televisyen litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mendapati aliran trafik mula meningkat sejak pukul 2.30 petang tadi apabila ramai perantau mengambil peluang pulang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan selepas waktu kerja hari ini.
Aliran trafik dilihat perlahan di beberapa laluan sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan.
Antaranya, arah utara melibatkan dari Sungai Buloh ke Rawang dan Slim River ke Sungkai, manakala laluan menghala selatan membabitkan Port Dickson, Seremban, Kulai dan Senai Utara.
Selain itu, di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak ketika ini, kenderaan mula bertambah bermula Plaza Tol Gombak ke Bentong.
Di Lebuh Raya Pantai Timur 1 dan 2, keadaan trafik masih lagi lancar dengan jumlah kenderaan yang sangat kurang.
Terdahulu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 2.2 juta kenderaan sehari akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya bermula hari ini sehingga esok serta bersambung pada 21 Oktober, sempena sambutan Deepavali dan cuti sekolah tambahan yang diumumkan kerajaan.
PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikatnya itu telah bersiap sedia menghadapi lonjakan trafik tersebut dengan memberi tumpuan kepada pengurusan kesesakan, pengagihan trafik dan keselesaan pengguna bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selamat.
“Pengguna lebuh raya disarankan untuk merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan jadual perjalanan menerusi MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS bagi perjalanan di Lebuh Raya kendalian PLUS dan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 17 hingga 22 Oktober 2025 akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE