KANGAR – Seorang pensyarah kimpalan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan seorang pelajar lelaki institut itu, Februari lalu.
Tertuduh, Syed Luqman Syed Muhammad Arif, 27, selaku orang kena saman (OKS) memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelajar lelaki, Muhammad Qairil Mohammad Zahid, 22, di pondok pengawal keselamatan institut kemahiran tersebut di Beseri, dekat Padang Besar kira-kira pukul 9.45 malam, 22 Februari lepas.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Norliza Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan.
Pegawai Pendakwa menawarkan jaminan berjumlah RM3,000 dengan dua penjamin warga tempatan.
Zuhair dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan jumlah jaminan kerana anak guamnya menanggung ibu bapa, selain isterinya sedang hamil anak sulung.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE