ALOR GAJAH – Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik iparnya yang berusia 14 tahun, Ahad lalu.
Tertuduh yang berusia 24 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun dengan cara menindih badannya ke atas badan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Solok Mangga, Tanjung Bidara, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 12 Oktober 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 17 hari bulan sehingga kes selesai dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak sulungnya menghidap penyakit jantung dan menjaga ibunya yang sakit, selain tidak dapat melakukan kerja berat kerana terlibat kemalangan tahun lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 24 November depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE