PETALING JAYA – Seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) dilaporkan terjatuh dari salah satu bangunan kolej kediaman universiti itu dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Menurut UM, mangsa telah diberikan bantuan kecemasan sejurus kejadian sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.
“Pihak universiti memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan. Keutamaan kami pada masa ini adalah memastikan kebajikan serta keselamatan mahasiswa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UM bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai kejadian serta identiti pelajar berkenaan. – KOSMO! ONLINE