JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi sekumpulan pelajar sekolah menengah di Bekasi, wilayah Jawa Barat membelasah enam murid lain gara-gara enggan melepak bersama mereka, lapor laman berita Detik hari ini.
Dalam video tersebut, enam mangsa dilihat duduk di tepi tembok ketika beberapa murid lain menendang mereka.
Ketua Polis Metro Bekasi, Komisioner Kanan Mustofa berkata, kesemua mangsa dibelasah kerana enggan melepak bersama pelajar senior yang mengajak mereka bermain permainan video.
“Kumpulan pelajar tahun sembilan mahu bermain PlayStation dan mengajak mangsa-mangsa tersebut tetapi mereka enggan.
“Disebabkan itu, mereka dibelasah.
“Polis telah menahan tujuh orang pelaku, manakala mangsa seramai enam orang,” kata Mustofa.
Tambah Mustofa, waris beberapa pelajar yang menjadi mangsa sudah membuat laporan polis, manakala kes itu disiasat dengan berhati-hati kerana semua suspek masih di bawah umur.
“Mereka berusia 15 tahun.
“Kes itu disiasat lebih lanjut, namun mengikut cara yang sesuai dengan usia mereka,” kata Mustofa. – AGENSI