fbpx
Gambar hiasan.

PAU 2025 ditangguh lagi ke Januari, UMNO tumpu PRN Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang dijadual berlangsung pada hujung November ini ditangguhkan sekali lagi ke Januari tahun hadapan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pengisytiharan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh PRN Sabah dari 15 hingga 29 November ini.

“Memandangkan tarikh-tarikh tersebut bertembung dengan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang sebelum ini telah direncanakan pada 26 hingga 29 November 2025, maka UMNO Malaysia memutuskan untuk menangguhkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 kepada 14 hingga 17 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada seluruh kepimpinan dan jentera parti menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha membantu Barisan Nasional (BN) Sabah dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Dengan penangguhan ini, diharapkan agar kepimpinan dan jentera UMNO seluruh Malaysia dapat menumpukan sepenuh tenaga dan usaha membantu BN Sabah bagi meraih kembali kepercayaan rakyat.

“(Ia) untuk BN kembali mengemudi kerajaan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh Perhimpunan Agung tahun ini adalah dari 20 hingga 23 Ogos, namun telah ditunda kepada 26 hingga 29 November depan selepas mengambil kira persiapan menghadapi PRN Sabah.

Bagaimanapun, ia sekali lagi ditunda ke tahun hadapan selepas tarikh rasmi PRN Sabah ke-17 dikeluarkan.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada sidang akhbar khas pada 6 Oktober lalu memaklumkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan sekali gus memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI