fbpx
MOHAMMAD Azlin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas menerusi Op Tapis Khas Kontinjen Perak di seluruh negeri selama tiga hari sejak Isnin lalu.

Op Tapis Khas: Dua sindiket dadah tumpas, 413 individu diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis Perak berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Taiping dan Batu Gajah dengan rampasan bernilai RM60,617 menerusi Op Tapis Khas yang dijalankan selama tiga hari sejak Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dalam serbuan di Simpang dan Kamunting dekat Taiping Rabu lalu, dua lelaki berusia 34 dan 45 tahun ditahan bersama 13.6 kilogram (kg) ganja.

Menurutnya, ujian saringan air kecil mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis THC dan seorang daripada mereka memiliki tiga rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan narkotik.

“Dadah yang dirampas disyaki untuk diedar di pasaran negeri di utara itu dianggarkan bernilai RM37,700 dan sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Februari lalu,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam tangkapan di Batu Gajah pada pukul 4 petang hari sama, seorang lelaki berusia 43 tahun diberkas di sebuah pondok di Kampung Ara Payung bersama 2.3kg dadah jenis heroin dan methamphetamine.

Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM22,917 dan sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah sejak empat bulan lalu.

“Pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya.

Tambah beliau, tiga lelaki terbabit merupakan antara 413 individu yang ditahan menerusi Op Tapis Khas selepas ‘sarang’ penagihan dadah di seluruh negeri digempur polis.

Katanya, dalam tempoh itu, seramai 399 lelaki dan 14 wanita berusia antara 18 hingga 65 tahun ditahan selain 14 orang warga asing dari Indonesia, Thailand, Nepal, China dan Kemboja.

“Daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 53 orang ditahan bagi kesalahan pengedaran dadah, 128 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 224 penagih dadah.

“Dalam operasi sama juga, tiga individu ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 manakala lima individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki. Selain itu, seramai lima penagih dadah tegar dikenal pasti dan tindakan diambil mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM87,660.89 membabitkan pelbagai jenis bahan terlarang termasuk 2.6 kilogram heroin, 13.7 kilogram ganja, 92 gram syabu, ketamin, pil Erimin 5, Yaba serta daun dan air ketum.

“Polis turut menyita sebuah kereta, empat motosikal dan wang tunai berjumlah RM24,871 hasil kegiatan jenayah dadah,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI