fbpx
LILIS SASLINDA (kiri) ketika hadir melancarkan SHMMP Deepavali 2025 peringkat Johor di sebuah pasar raya di Taman Yayasan, Segamat, semalam. Foto FARAHWAHIDA AHMAD/KOSMO!

KPDN Johor pastikan bekalan asas cukup hadapi Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan memastikan bekalan makanan asas mencukupi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pertanian sebagaimana yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya.

Jelasnya, KPDN bertanggungjawab memastikan bekalan barangan, sama ada barang kawalan mahupun keperluan harian tetap berada di pasaran sama ada ketika musim perayaan atau ketika berlaku bencana alam.

“Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 yang bermula semalam sehingga 22 Oktober melibatkan sembilan jenis barangan kawalan dengan pemantauan berterusan oleh 200 anggota penguatkuasa KPDN di seluruh negeri.

“Penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berhemah dengan penekanan terhadap pendidikan, nasihat dan amaran, namun tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang ingkar kepada peraturan ditetapkan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 Peringkat Johor di sebuah pasar raya di Taman Yayasan, semalam.

Ujar beliau, SHMMP Deepavali 2025 ini disusun dengan teliti bagi memastikan pengguna menikmati harga barangan yang berpatutan, manakala peniaga tidak terbeban dengan tempoh kawalan harga yang panjang.

“Tahun ini, sebanyak sembilan jenis barangan utama disenaraikan di bawah SHMMP Deepavali berbanding lapan barangan tahun lalu,”katanya.

Antara barangannya adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), bawang merah besar import, kacang dal (Australia), kelapa biji dan kelapa parut.

“Pelaksanaan skim ini di buat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang membolehkan kerajaan menetapkan harga maksimum di peringkat pemborong dan peruncit,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI