fbpx
Muharfizal ketika ditemui di rumahnya di Yarra Park, Sungai Petani hari ini.

‘Isteri arwah menangis beritahu suami hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – “Isteri kepada Allahyarham Mustaqqeem hubungi isteri saya dan beritahu suaminya hilang sambil menangis. Dia juga ada tanya jika ada kenal mana-mana ustaz.”

Demikian kata Muharfizal Matt, 36, yang merupakan rakan dan jiran kepada Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemui maut di puncak Gunung Liang, Perak semalam.

Menurut Muharfizal, isteri arwah, Nur Faratin, 31, menghubungi isterinya kira-kira pukul 6 petang, Rabu lalu bagi memaklumkan tentang kehilangan Mustaqqeem ketika melakukan aktiviti pendakian di gunung tersebut.

“Selepas itu, jiran-jiran di sini menasihatkannya untuk membuat laporan polis sebelum usaha pencarian mangsa dilakukan pasukan penyelamat.

“Arwah sepatutnya pulang pada Isnin tetapi tidak berbuat demikian sebelum isteri arwah dimaklumkan tentang kehilangan Mustaqqeem pada Rabu,” katanya ketika ditemui di Yarra Park, di sini hari ini.

Katanya, dia sedih dengan nasib menimpa rakannya itu, namun bersyukur kerana jasad arwah berjaya ditemui di puncak Gunung Liang semalam.

“Ada dengar cerita yang kali terakhir itu, arwah dilihat dalam keadaan lemah sebelum ditemui sudah meninggal dunia berseorangan. Apapun biarlah polis menyiasat apa jua dakwaan berhubung kejadian,” ujarnya.

Jelasnya, kawasan kejiranan di situ mengadakan bacaan Yasin dan tahlil buat arwah.

“Malam ini saya dan jiran-jiran lain di sini akan ke majlis pengebumian arwah di Penaga, Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, arwah seorang yang aktif bersukan, terutama dalam aktiviti mendaki gunung dan difahamkan dia sedang membuat persediaan untuk ke Nepal.

“Arwah juga gemar bermain bola sepak dan saya sempat bermain dengannya kira-kira tiga minggu lalu. Kami saling mengenali sejak saya menetap di sini tiga tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI