fbpx
HARIMAU MALAYA mendapat tambahan lebih 13 mata selepas dua kemenangan ke atas Laos menyaksikan kedudukan ranking melonjak.

Impian Harimau Malaya jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSETERUAN antara Malaysia dan Indonesia bakal bertambah menarik apabila Harimau Malaya dikatakan sudah pun memintas negara jiran itu dalam senarai ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kemaskini ranking FIFA pada 18 September lalu, skuad Garuda yang memiliki 1157.94 mata untuk berada ditempat ke-119 dunia, hanya berkelebihan 9.71 mata berbanding Malaysia di tangga ke-123.

Bagaimanapun, dua perlawanan antarabangsa bulan ini menyaksikan Indonesia dan Malaysia mengalami nasib berbeza apabila Harimau Malaya nyata lebih bertuah untuk meraih dua kemenangan ke atas Laos.

Hasil pengiraan tidak rasmi, Harimau Malaya berjaya meraih 6.77 mata selepas menewaskan Laos 3-0 di Vientiane, 9 Oktober lalu dan mendapat tambahan 6.52 mata apabila membelasah lawan sama 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Situasi itu mungkin menyaksikan skuad negara akan melepasi kedudukan 120 dunia, tetapi nasib sebaliknya buat Indonesia yang ditolak mata kerana tewas dua kali kepada Arab Saudi dan Iraq pada aksi kelayakan Piala Dunia.

Kekalahan itu juga menyebabkan pengendali Indonesia, Patrick Kluivert disingkirkan daripada jawatan semalam secara persetujuan bersama selepas lantik pada Januari lalu.

Jika perbandingan dibuat antara Malaysia dan lima pasukan di kedudukan lebih atas, iaitu Sierra Leone, Korea Utara, Togo, Indonesia dan Kazakhstan, hanya Harimau Malaya meraih kemenangan bersih dalam dua perlawanan bulan ini.

Mengambil kira faktor itu, skuad kendalian Peter Cklamovski dijangka mampu memanjat sekurang-kurangnya lima anak tangga untuk berada di tempat ke-118 dunia.

Keputusan perlawanan sebelum ini menyaksikan hanya Kazakhstan dan Korea Utara yang menjadi negara tidak kalah ketika menentang lawan di ranking lebih baik sekali gus membolehkan pasukan berkenaan diberikan tambahan mata.

Korea Utara yang berada di tempat ke-121 seri 2-2 dengan Kyrgyzstan (106) manakala Kazakhstan juga seri 1-1 dengan Macedonia Utara (63).

FIFA akan mengeluarkan senarai terkini kedudukan semasa ranking dunia pada Khamis minggu depan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN