KUALA LUMPUR – “Saya tak boleh tidur, tak lalu makan. Setiap kali berjalan, air mata saja yang keluar. Saya harap sangat anak saya dapat diselamatkan.”
Ibu mangsa dikenali sebagai Izah, 45, dari Batu Pahat, Johor merayu bantuan pihak berkuasa dan masyarakat bagi menyelamatkan anak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.
Katanya, anak bongsunya berusia lingkungan 20-an sebelum ini bekerja di Johor Bahru dan dipercayai terperdaya dengan ajakan seorang kenalan untuk bekerja di Singapura.
“Anak saya kenal seorang lelaki yang memperkenalkan diri dengan nama ‘Tiger’. Ceritanya, kerja di Singapura boleh dapat gaji lebih untuk bantu keluarga sebab bapanya sedang sakit kanser usus tahap empat dan saya pula hanya ambil upah menjahit,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Namun, Izah berkata, anaknya tidak dibawa ke Singapura seperti dijanjikan, sebaliknya dihantar ke Kemboja tanpa pengetahuannya.
“Pada 29 September lalu, anak saya telefon melalui WhatsApp minta tolong. Dia kata bukan berada di Singapura, tapi di Kemboja. Dia menangis dan minta kami selamatkan dia,” katanya.
Menurut Izah, anaknya memaklumkan keadaan di sana amat menyedihkan dan mereka dipaksa melakukan kerja-kerja penipuan dalam talian.
“Kalau tak dapat tipu orang, mereka akan dipukul. Dia pernah dengar orang lain jerit kesakitan sebab kena pukul. Dia takut sangat dan nak balik,” katanya.
Tambahnya, anaknya hanya makan sekali sehari dan perlu menunggu waktu tertentu untuk mendapatkan makanan kerana kawalan ketat pihak sindiket.
Sebagai seorang ibu, Izah mengakui hidupnya kini tidak tenteram dan dihantui rasa bersalah sejak mengetahui nasib anaknya itu.
Beliau turut menasihati ibu bapa serta anak muda supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja luar negara yang tidak sahih.
“Kita selalu dengar pasal ‘scam’, tapi tak sangka sampai macam ni dibawa ke luar negara dan dijadikan hamba. Saya harap kerajaan dan pihak berkuasa sebarkan lebih banyak kesedaran, terutama di kampung,” katanya.
Izah berkata beliau akan membuat laporan polis di Balai Polis Tun Razak hari ini bagi memohon bantuan rasmi menyelamatkan anaknya.
“Saya akan balik ke Johor selepas ini, tapi harapan saya cuma satu biarlah anak saya dapat pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja.
Katanya, MHO akan meminta rakan mereka, Azrul Syafiq, untuk berkoordinasi dengan pasukan petugas khas dan Kementerian Dalam Negeri bagi menghantar pasukan polis ke negara berkenaan.
“Diharap bukan setakat anak makcik ini sahaja, tetapi semua rakyat kita yang masih terperangkap di sana dapat dibawa pulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE