PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) petang ini mengeluarkan amaran ribut petir hampir di seluruh negara.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku hingga 6 petang nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Cuaca sama juga dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang dan Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman,” katanya.
Sementara itu, MetMalaysia berkata amaran ribut petir itu juga dijangka di seluruh Pahang manakala Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat,” katanya.
Tambah MetMalaysia, turut terlibat adalah Johor di Tangkak, Segamat, Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala Sarawak di Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu).
Selain itu, MetMalaysia menjangkakan cuaca buruk melanda Sabah di Pedalaman (Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat).
“Sementara itu cuaca buruk turut dijangka berlaku di seluruh Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya. – KOSMO! ONLINE