KABUL – Gencatan senjata di sepanjang perbatasan Afghanistan dan Pakistan bertahan semalam, kata pegawai kedua-dua belah pihak, selepas berpuluh-puluh anggota tentera dan orang awam terbunuh dalam pertempuran rentas sempadan.
Di Spin Boldak iaitu kawasan panas sebelah Afghanistan, wartawan AFP melihat kedai-kedai dibuka semula dan penduduk kembali ke rumah yang mereka tinggalkan semasa pertempuran.
Gencatan senjata 48 jam yang tamat petang ini bertujuan memberi masa untuk mencari penyelesaian positif melalui dialog konstruktif, demikian menurut Islamabad.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata petang semalam bahawa sama ada gencatan senjata sementara itu akan dilanjutkan bergantung kepada tindak balas Kabul.
“Jika dalam masa 48 jam ini mereka (kerajaan Kabul) mahu menyelesaikan isu dan menangani tuntutan sebenar kami, maka kami bersedia untuk mereka,” kata Sharif kepada kabinetnya, mengulangi tuntutan agar kumpulan pejuang Taliban Pakistan dihapuskan dan wilayah Afghanistan tidak digunakan sebagai pangkalan untuk merancang serangan.
Pakistan menghadapi kebangkitan semula serangan terhadap pasukan keselamatannya di sempadan barat dengan Afghanistan. Serangan itu didalangi Taliban Pakistan dan sekutu-sekutunya.
Pengarah kesihatan Spin Boldak berkata, 40 orang awam terbunuh dan 170 cedera kelmarin, manakala misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) melaporkan sekurang-kurangnya 37 orang mati dan 425 cedera di beberapa wilayah yang terjejas oleh pertempuran.
“Rumah kami dibom, seorang kanak-kanak cedera. Saya sendiri mendengar pesawat itu(Pakistan),” kata Abdul Zahir, seorang penduduk berusia 46 tahun, Abdul Zahir kepada AFP.
Islamabad menuduh Kabul melindungi militan yang merancang serangan kerap dari tanah Afghanistan, tuduhan yang dinafikan oleh kerajaan Taliban. – AFP