LONDON – Bintang Arsenal, Christian Norgaard tampil memberikan mesej buat pengendali kelab itu, Mikel Arteta bahawa dia begitu terdesak untuk mendapatkan debut di Liga Perdana Inggeris.
Selepas memainkan peranan penting buat Denmark yang menentang Belarus dan Greece pada aksi kelayakan Piala Dunia, Norgaard berharap Arteta dapat menyaksikan kualitinya dan sedia diturunkan untuk menguatkan Arsenal.
“Cukup baik apabila dapat peluang untuk turun bermain. Tiada apa yang lebih bagus daripada melangkah masuk ke stadium pada aksi antarabangsa dan ribuan penyokong menyanyikan lagu kebangsaan.
“Bagus juga untuk saya mendapatkan minit permainan bagi tunjukkan kepada kelab yang saya mampu turun beraksi. Kini saya mula memikirkan tentang minit permainan dengan Arsenal.
“Saya tidak berdepan sebarang masalah, tiada kekejangan atau pun sebarang isu. Saya harap jurulatih (Arteta) menyaksikan perlawanan ini sebagai bukti saya mampu mengawal keadaan khususnya dalam aspek fizikal,” katanya.
Bagaimanapun, Norgaard sedar dia juga perlu bekerja keras kerana Arsenal turut memiliki pemain berkualiti yang mampu mengisi kekoongan.
“Masa akan menentukannya kerana Arsenal juga ada ramai pemain berbakat. Terdapat banyak perlawanan yang akan diharungi dan saya harap pasukan dapat lakukan penggiliran pemain,” katanya. AGENSI