fbpx
Noryani Syakira ketika menghantar pesanan makanan di Bukit Katil tular di media sosial pada Selasa lalu.

‘Dulu dimaki sekarang ramai bantu, rezeki anak-anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – “Dulu saya pernah dimaki kerana bawa anak-anak naik motosikal, tetapi saya hanya mampu tahan dan pendam. Tak sangka, kali ini kerana anak-anak juga saya terima rezeki dalam pelbagai bentuk.”

Demikian kata Noryani Syakira Yaakob, 23, yang menarik perhatian ramai selepas kisahnya membonceng dua anak kecil termasuk bayi berusia 10 bulan ketika menghantar pesanan makanan di Bukit Katil tular di media sosial pada Selasa lalu.

Menurut Noryani, sejak kisahnya tular dia tidak keluar bekerja selama dua hari kerana rumahnya di Bukit Lintang dikunjungi ramai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan wakil-wakil rakyat kawasan yang menghulurkan pelbagai bantuan.

“Selama ni saya tidak mohon bantuan sebab rasa tak cukup syarat, saya masih muda boleh bekerja cuma tidak mampu hendak membayar upah pengasuh. Sebab tu saya lebih rela bawa anak-anak ke mana sahaja saya pergi.

“Tetapi selepas kisah tular ada wakil JKM dan MAIM datang ke rumah membantu proses permohonan bagi pihak saya, selain itu ada juga individu dan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri menghulurkan pelbagai jenis bantuan.

“Saya peluk dan cium anak-anak berkali-kali sebab terlalu sebak. Hanya Allah yang tahu perasaan saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut ibu muda itu, sebelum ini dia bekerja sebagai pembantu jualan ayam gunting dan anak-anaknya dijaga oleh ibu mentua, namun wanita tersebut meninggal dunia pada 2021.

“Selepas itu adik pula membantu menjaga anak-anak ketika saya keluar bekerja. Namun dia pula berpindah ke Kota Tinggi, Johor selepas mendapat kerja dan berkahwin.

“Ibu bapa saya pula berada di Perlis, jadi saya tidak mempunyai pilihan selain membawa anak-anak bersama setiap kali keluar bekerja dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun kehidupannya serba kekurangan, dia tekad untuk terus bekerja mencari rezeki bagi membesarkan anak-anaknya.

Noryani bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan masyarakat yang sudi membantu dia sekeluarga.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI