PETALING JAYA – Ibu bapa digesa supaya lebih peka dan tidak memandang ringan sekiranya anak-anak mengadu menjadi mangsa gangguan atau sentuhan tidak wajar oleh rakan atau cikgu di sekolah.
Seorang wanita menerusi hantaran di Facebook menekankan bahawa laporan awal daripada ibu bapa boleh menyelamatkan anak-anak daripada menjadi mangsa.
Menurutnya, ramai kes penderaan seksual di sekolah hanya terbongkar selepas mangsa berani bersuara berbulan atau bertahun kemudian akibat rasa takut dan malu.
“Jika anak mengadu disentuh, jangan terus menolak aduan mereka dengan alasan ‘mungkin tersalah anggap’.
“Ibu bapa perlu tenang, dengar dengan empati, dan segera laporkan kepada pihak sekolah atau polis,” katanya.
Menurut wanita itu, sebelum ini anak saudaranya pernah menjadi mangsa gangguan seksual guru lelaki di sekolah.
“Anak sedara lelaki, cikgu yang buat hal pun lelaki. Anak saudara kata cikgu pegang kemaluannya dengan alasan nak cek (semak) sama ada ada penyakit atau tidak. Cikgu matematik ambil alih tugas Dr. (doktor)?.
“Sila ajar anak-anak anda kawasan mana tak boleh disentuh meskipun cikgu tersebut antara individu yang dipercayai oleh anak-anak anda,” pesannya.
Pengguna Facebook itu menambah, ibu bapa perlu membina kepercayaan agar anak-anak berani berkongsi pengalaman tidak selesa mereka tanpa rasa takut dimarahi atau dipersalahkan.
“Sentuhan yang tidak sepatutnya bukan isu kecil. Ia boleh meninggalkan trauma jangka panjang kepada mangsa, lebih-lebih lagi jika dilakukan oleh individu yang mereka hormati seperti guru,” pesannya.
Menjengah di ruangan komen, ramai bersetuju bahawa langkah pencegahan awal perlu bermula dari rumah.
“Kalau saya anak, periksa badan anak, tanya apa yang berlaku di sekolah pada anak, tanya ada cikgu sentuh mana-mana. Dengan ibu bapa, anak akan bercerita kalau kita pandai mendekati anak-anak. Insya-Allah mereka akan cerita walaupun dipesan untuk diamkan,” kata Azura.
“Anak bermasalah semya nak tunding guru, sedangkan masa dengan anak-anak pun ibu bapa tak sediakan. Siapa punya anak?,” tegur Din. – KOSMO! ONLINE