fbpx
Yew Hoe, menerima Anugerah Tenaga ASEAN 2025 untuk kategori Tenaga Boleh Diperbaharui: Dalam Grid (Grid Nasional) semasa Forum Perniagaan Tenaga (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Cenergi raih dua pengiktirafan di ASEAN Energy Awards 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Anak syarikat UEM Lestra Berhad, Cenergi SEA Berhad (Cenergi) meraih dua pengiktirafan berprestij di bawah kategori Tenaga Boleh Baharu – Atas Grid (Grid Kebangsaan) di ASEAN Energy Awards 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ir. Kwok Yew Hoe berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kedudukan syarikat tersebut selaku pembangun loji janakuasa biogas efluen kilang minyak sawit (POME) grid bersambung terbesar di Malaysia, yang mengendalikan portfolio meluas merangkumi biomethane, solar, hidro kecil dan inisiatif kecekapakan tenaga di seluruh negara.

“Pengiktirafan di peringkat serantau ini bukan sahaja membuktikan bahawa kami berada di landasan yang tepat menerusi inovasi yang dibawakan tetapi juga merupakan manifestasi peranan penting Cenergi dalam melakar masa hadapan tenaga boleh baharu di Malaysia.

“Seiring dengan iltizam ASEAN untuk beralih ke arah lanskap tenaga yang lebih bersih dan bersepadu, Cenergi komited untuk terus meneroka kaedah yang lebih inovatif dalam mentransformasi sisa buangan kepada tenaga bersih di samping mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Datuk Fadillah Yusof, pada sebuah majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25).

Sementara itu, Yew Hoe berkata, loji Janakuasa Biogas 1.56MW Cenergi West di bawah kendalian Cenergi yang terletak di Pulau Carey, Selangor, telah dinamakan sebagai pemenang bagi loji janakuasa biogas efluen kilang minyak sawit berprestasi tinggi dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berimpak tinggi.

“Projek ini diiktiraf atas penjanaan tenaga boleh baharu berasaskan efluen sawit yang mampan, disokong oleh inisiatif CSR yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan.

“Di samping itu, Ladang Solar Tenaga 11.3MWp di Sungai Tiang, Kedah di bawah skim New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) yang dikendalikan Cenergi pula telah mendapat tempat kedua sebagai perintis penjana solar dagangan,” katanya.

Beliau berkata, selaku projek solar agrivoltaik dagangan pertama di Malaysia, ladang solar ini merupakan yang terawal mengorak langkah dalam liberalisasi pasaran tenaga dengan membolehkan penjualan terus tenaga elektrik bersih kepada grid kebangsaan mengikut harga pasaran.

“Cenergi terus menerajui usaha peralihan tenaga, dengan inisiatif melangkaui pembangunan
tenaga boleh baharu.

“Pada tahun 2024, syarikat telah menerbitkan Kredit Karbon daripada loji biogas POME yang disahkan Verra yang pertama di Malaysia, yang telah didagangkan di platform Bursa Carbon Exchange pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, Cenergi juga giat meneroka pendekatan baharu bagi menyokong usaha dekarbonisasi dalam sektor penerbangan, termasuklah potensi penerbitan Kredit Karbon selaras dengan garis panduan CORSIA (Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI