fbpx
Fadillah

ASEAN perkukuh kerjasama tenaga bersih di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai peneraju agenda tenaga bersih serantau apabila berjaya mempengerusikan dua mesyuarat tenaga peringkat tertinggi iaitu 19th East Asia Summit Energy Ministers Meeting (EAS EMM) dan 22nd ASEAN+3 Ministers on Energy Meeting (AMEM+3) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Kedua-dua mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof, susulan kejayaan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) semalam.

EAS EMM ke-19 menghimpunkan Menteri-Menteri Tenaga dari lapan negara Sidang Kemuncak Asia Timur iaitu Australia, China, Jepun, Republik Korea, New Zealand, Russia dan Amerika Syarikat, selain penyertaan negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.

Petra melalui satu kenyataan berkata, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan tenaga serantau serta kerjasama praktikal dalam pelaburan rentas sempadan tenaga bersih dan hala tuju peralihan tenaga.

Mesyuarat turut mengalu-alukan pelancaran Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030 yang menekankan agenda dekarbonisasi, pendigitalan dan kepelbagaian sumber tenaga. Para Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Pasukan Petugas Kerjasama Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS ECTF) atas kemajuan projek tenaga bersih dan bahan api rendah karbon.

Sementara itu, AMEM+3 ke-22 mempertemukan Menteri-Menteri Tenaga ASEAN bersama China, Jepun dan Republik Korea yang memperakukan Rancangan Kerja Kumpulan Dasar Tenaga (SOME+3) 2025–2026 meliputi empat bidang utama iaitu keselamatan tenaga, dialog pasaran minyak dan gas, tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga, serta dialog tenaga bersih.

“Malaysia melalui Petra menegaskan bahawa kerjasama serantau perlu diperkukuh daripada sekadar dialog dasar kepada tindakan pelaksanaan sebenar, bagi memperluas sambungan grid tenaga ASEAN dan mencapai sasaran sifar bersih secara kolektif.

“Hasil kedua-dua mesyuarat ini turut menonjolkan peranan Malaysia sebagai penghubung utama antara ASEAN dan rakan Asia Timur dalam menggerakkan Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APGF) yang dilancarkan sempena AMEM-43 semalam,” jelas kenyataan tersebut.

Diadakan di bawah tema “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”, penganjuran ini menggambarkan tekad bersama rantau ini untuk memperkukuh keselamatan dan keterjaminan tenaga, memastikan tenaga mampu milik serta mengekalkan kelestarian alam sekitar seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan inovasi dan kesejahteraan hijau.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI