PETALING JAYA – Kepentingan jangka panjang wajar menjadi keutamaan semua pihak bagi melindungi Arif Aiman Hanapi selepas mencipta sensasi sebagai pemain Malaysia pertama tersenarai dalam dalam tiga calon akhir merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025.
Walaupun anugerah itu menjadi milik bintang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari, penyenaraian Arif Aiman membuktikan bakat dari Malaysia kini mula dipandang tetapi pemain itu wajar dilindungi bagi mengelak dipalit kecederaan serius.
Pemerhati bola sepak tanah air, Sulaiman Hussin berkata, keberadaan Arif Aiman pada anugerah itu adalah pencapaian yang baik buat dirinya dan juga negara memandangkan Malaysia sudah lama merindui kelibat pemain bertaraf tinggi khususnya di benua Asia.
“Selepas sekian lama, kini munculnya pemain dari negara ini mendapat pengiktirafan. Kenapa dia mendapat perhatian? Bagi saya di JDT (Johor Darul Ta’zim) dia dikelilingi import berkualiti tetapi setiap kali bermain dia mampu tampil menyerlah.
“Mungkin sebab itu dia cukup istimewa hingga dilihat oleh orang luar. Pencapaian ini harus jadi tanda aras baharu kepada pemain muda kerana sebelum dapat apa yang diraih sekarang, Arif Aiman pasti sudah lalui fasa jatuh bangun.
“Harap dia dapat jaga diri mengelak cedera serius dan kita perlu melindunginya. Kalau boleh kita mahu dia macam Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang mampu beraksi lama, kekal cemerlang walaupun sudah meningkat usia tetapi kita kena juga cari penggantinya,” katanya.
Pada anugerah berlangsung di Pusat Kebudayaan King Fahad, Riyadh awal pagi semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut diiktiraf antara tiga ahli gabungan terbaik dalam pembangunan akar umbi.
FAM berada di tangga kedua di belakang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), manakala Persekutuan Bola Sepak Bangladesh di tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE