fbpx
Norliza (lapan dari kanan) bergambar bersama bayi kelahiran baharu semasa Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2025 di HTAA, Pahang

50 bayi baharu lahir di Pahang terima akaun Simpan SSPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 50 bayi yang baharu dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang menerima akaun Simpan SSPN sempena sambutan Hari Tabungan Sedunia hari ini.

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, serahan akaun tersebut dibuat menerusi program tanggungjawab sosial korporat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Junior Superhero Simpan SSPN 2025.

Program yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim itu turut disertai oleh Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Negeri Pahang, Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee dan Timbalan Pengarah Pengurusan HTAA, Boniface Basin Nyirob.

Melalui program tersebut, PTPTN menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada bayi-bayi kelahiran baharu pada bulan Oktober 2025.

“Sumbangan ini melibatkan pembukaan atau penambahan akaun Simpan SSPN Prime
berjumlah RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada
setiap penerima,” katanya.

Menurut PTPTN, program ini telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri
Pahang dan HTAA dalam usaha memperkukuh budaya menabung seawal usia.

PTPTN memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang melalui Program Permata Makmur yang mula diperkenalkan pada 2024.

Program itu memberi bantuan one-off RM300 kepada setiap bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan di negeri tersebut pada tahun 2025 serta ibu atau bapa kepada bayi mestilah berusia 16 tahun ke atas.

“Menerusi inisiatif ini, sebanyak RM250 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau
penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM50 diberikan dalam bentuk
barangan bayi,” jelas PTPTN.

Sementara itu, Norliza berkata, usaha ini mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam menyantuni masyarakat Pahang, khususnya dalam aspek simpanan dan pendidikan.

“Alhamdulillah, saya difahamkan bahawa program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan semenjak diperkenalkan. Jika dilihat, dalam tempoh Januari 2024 hingga 1 Oktober 2025, seramai 11,853 bayi kelahiran baharu telah menerima insentif ini yang disalurkan melalui akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM2.96 juta,” katanya.

Tambah Norliza, sehingga September 2025, jumlah deposit Simpan SSPN di Pahang mencecah RM634.54 juta dengan 387,408 akaun direkodkan.

“Tahniah kepada masyarakat Pahang kerana menjadi ‘superhero’ kepada anak-anak melalui amalan menabung secara konsisten. Jadikanlah Simpan SSPN sebagai simbol kasih sayang dan perancangan bijak ibu bapa untuk masa depan pendidikan anak-anak,” ujarnya.

Sejak diperkenalkan pada 2004, Simpan SSPN telah mencatatkan RM22.47 bilion deposit dengan 7.16 juta akaun dibuka sehingga 30 September 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI