PETALING JAYA – Polis sudah merakam keterangan 127 saksi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mereka terdiri daripada pelajar, guru, kakitangan sekolah, kaunselor, keluarga mangsa dan suspek,
“Kita juga akan mengambil keterangan individu lain sekiranya terdapat saksi lain yang boleh membantu siasatan.
“Setakt ini, polis sudah merakam keterangan seramai 127 saksi bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah menyerahkan segala bukti termasuk rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kepada pihak forensik selain sedang menunggu laporan penuh bedah siasat kes berkenaan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis belum dapat mengesahkan berhubung jumlah tikaman dalam kes terbabit sehingga laporan penuh bedah siasat dikeluarkan yang dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Bagaimanapun, semalam ibu mangsa, Wong Lee Pong mendakwa ahli patologi memaklumkan anaknya yang tidak mengenali suspek telH ditikam sebanyak 200 kali.
Dalam kejadian pukul 9.10 pagi Selasa lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah di kawasan tandas sekolah akibat kecederaan parah dengan beberapa kesan tikaman pada leher dan badan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE