fbpx
Mohamed Yusoff Khan (tengah) semasa melawat ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat baru-baru ini. FOTO IHSAN IMIGRESEN

Warga Thailand paling ramai ditolak masuk Malaysia melalui Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seramai 70 warga Thailand ditolak kemasukan sejak Januari hingga September lalu sekali gus mencatatkan jumlah warga asing paling ramai yang tidak dibenarkan masuk ke negara ini melalui Kelantan.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, jumlah itu direkodkan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, Tumpat dan ICQS Bukit Bunga, Jeli.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, seramai 83 warga asing ditolak kemasukan ke negara ini melalui kedua-dua ICQS tersebut.

“Daripada jumlah tersebut, 76 kes direkodkan di ICQS Pengkalan Kubor manakala tujuh lagi di ICQS Bukit Bunga.

“Seramai 63 warga Thailand tidak dibenarkan masuk melalui ICQS Pengkalan Kubor diikuti 12 individu dari Kemboja dan seorang warga Laos. Kesemua tujuh individu di ICQS Bukit Bunga pula melibatkan warga Thailand,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohamed Yusoff Khan memberitahu, tindakan menolak kemasukan kesemua warga asing itu dijalankan selepas mereka gagal mematuhi syarat kemasukan ke Malaysia, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan gagal menjelaskan tujuan kemasukan.

Menurutnya, selain itu, warga asing itu juga disyaki menyalahgunakan pas lawatan yang diberi.

“Jabatan Imigresen Kelantan akan terus memperketat kawalan pintu masuk antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Semua warga asing diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen sebelum merancang perjalanan ke negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI