fbpx
Tangkap layar rakaman yang dimuat naik guru wanita terbabit di aplikasi Thread.

[VIDEO] ‘Semua sembunyi bawah meja, tak henti sebut lailahaillah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejadian ribut yang melanda sekitar kawasan Teluk Panglima Garang, Selangor semalam mendatangkan kesan trauma kepada para murid termasuklah guru.

Menerusi hantaran dimuat naik seorang guru Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, Kuala Langat dikenali @Intnsyuhada di aplikasi Thread, ketika kejadian kesemua murid-muridnya bersembunyi di bawah meja kerana ketakutan.

Selain itu, menerusi rakaman video guru tersebut, kelihatan para murid Darjah 1 itu juga tidak henti melaungkan kalimah ‘Lailahaillah’ bagi mengatasi rasa takut saat sekolah mereka dilanda ribut petir semalam.

“Kejadian semalam. Anak-anak murid aku ni baru Darjah 1, hati utuh berpaut pada Allah di saat ribut menyerang. Trauma anak anak murid aku. Aku pulak trauma tengok mereka menangis-nangis.

“Walaupun ramai yang menangis ketakutan tapi laungan ‘Lailahaillah’ tidak lekang di bibir. Alhamdulillah semua selamat, cuma ada beberapa cermin tingkap pecah. Doakan anak-anak saya sembuh dari trauma,” katanya.

Guru itu menambah kesemua murid direhatkan buat sementara waktu daripada hadir ke sekolah dengan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Sementara itu, guru wanita itu berkata dia bersyukur kesemua muridnya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika sekolah rosak dilanda ribut petir.

“Alhamdulillah syukur semua ok. Murid tahun lain ada yang koyak kornea mata, lebam-lebam badan. Doakan mereka cepat sembuh,” tulisnya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mendoakan agar para murid dan guru tersebut diberikan kekuatan untuk menghadapi musibah bencana alam yang melanda.

“Allahuakbar menangis saya dengar tangisan anak-anak. Semoga trauma mereka cepat berlalu,” komen Shaf.

“Memang tak boleh bayangkan ketakutan yang kanak-kanak ini alami. Kita yang besar ni pun takut apatah lagi mereka,” komen Nisa.

“Semoga Allah terus beri kekuatan kepada murid dan guru. Dugaan, Allah sayang semua,” komen Asyraf.

Semalam, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan detik cemas kejadian ribut di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang.

Angin kencang menerbangkan bumbung sebuah sekolah selain menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan berhampiran.

Difahamkan, kejadian berlaku pada pukul 5 petang dan turut menyebabkan beberapa rumah penduduk dan sekolah di Kampung Medan mengalami kerosakan.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, kejadian itu menjejaskan beberapa kawasan dengan angin berpusing menyerupai puting beliung.- KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI