WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyatakan bahawa beliau mempertimbangkan untuk melancarkan serangan darat menyasarkan kartel dadah di Venezuela dalam kenyataan yang mencetuskan kemarahan rakan sejawatnya, Nicolas Maduro.
“Kami (Amerika Syarikat) sememangnya memberi tumpuan di darat sekarang kerana kami telah mengawal laut dengan sangat baik,” kata Trump kepada pemberita di pejabat rasmi, Oval Office apabila ditanya sama ada beliau sedang mempertimbangkan serangan darat.
Bagaimanapun, Trump enggan mengesahkan laporan akhbar New York Times bahawa beliau secara rahsia membenarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk melakukan tindakan sulit di terhadap Maduro.
Ditanya sama ada beliau telah memberikan kuasa kepada CIA untuk ‘menyingkirkan’ Maduro, Trump menjawab: “Itu soalan yang tidak masuk akal untuk ditanya. Bukan, soalan itu sendiri bukan tidak masuk akal tetapi ia tidak masuk akal untuk saya jawab(secara terbuka).”
Venezuela mengambil serius ancaman untuk menyingkirkan Maduro sama ada ancaman terbuka atau secara rahsia.
Trump berkata semalam bahawa satu lagi serangan ke atas bot didakwa mengangkut dadah dari Venezuela telah membunuh enam ‘pengganas narkotik’.
Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh setakat ini dalam serangan serupa berhampiran perairan Venezuela.
Trump menuduh Maduro mengetuai kartel dadah, namun dinafikan oleh pemimpin Venezuela tersebut. – AFP