REMBAU – Beribu-ribu trak membawa bantuan kemanusian termasuk dari Malaysia sedang beratur menunggu giliran untuk masuk ke Gaza selepas gencatan senjata diumumkan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan sedia ada itu sudah terlalu lama tersekat susulan tindakan Israel mengepung Gaza serta menyekat segala bantuan kemanusian untuk masuk ke negara tersebut.
Malah menurutnya, walaupun proses gencatan senjata sudah diumumkan, Israel masih belum membenarkan kesemua bantuan kemanusiaan itu di hantar terus ke Gaza serta masih mengenakan had kenderaan untuk masuk.
“Kita (Malaysia) memberi dalam bentuk bantuan kewangan kepada gensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat dan kita beri juga kepada Palang Merah Palestin.
“Bantuan barangan ini memang banyak dah beratur, beribu ribu trak sedang beratur untuk masuk ke dalam Palestin termasuk barang-barang daripada Malaysia daripada badan bukan kerajaan Malaysia.
“Daripada tajaan-tajaan syarikat-syarikat daripada Malaysia memang banyak telah pun lama beratur kerana tersekat disebabkan oleh pintu masuk ke Rafah tersebut telah pun ditutup.
“Semalam dia (Israel) bagi 300 trak ataupun 300 kontainer untuk masuk, dia menyekat hari pertama cuma 160 lebih,” katanya di Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan DUN Chembong sempena Depavali di Dewan Orang Ramai Pedas, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE