KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berkait kegiatan ‘counter setting’ melibatkan anggota dan pegawai pasukan tersebut semasa bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, pihaknya sentiasa memberi peringatan kepada semua anggota dan pegawai yang bertugas di sempadan agar tidak terlibat dengan kegiatan itu.
Menurutnya, PGA tidak akan berkompromi dan melindungi pegawai atau anggota yang didapati melakukan kesalahan yang bertentangan dengan integriti semasa bertugas di lapangan.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi daripada orang awam mengenai kegiatan ‘counter setting’ dalam kalangan petugas PGA di sempadan.
“Jika ada yang disyaki terlibat dan menjadi kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis, saya tidak akan melindungi mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Pemerintah dan Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA di Mess Pegawai Kanan PGA, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ijid Landu memberitahu, sehubungan itu, tindakan tegas akan dikenakan sekiranya ada warga PGA yang dibuktikan melakukan kesalahan tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan mengesahkan pihaknya mempunyai maklumat awal berhubung kegiatan mengatur kaunter atau counter setting di sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kegiatan itu amat membimbangkan terutamanya selepas berjaya menembusi kawalan keselamatan di kawasan berteknologi tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE