PETALING JAYA – Beraksi di halaman sendiri pada Sukan SEA Malaysia 2027 sememangnya menjadi impian utama buat permata olahraga dalam pembikinan negara, Muhammad Syukri Nazim Mydin.
Bagi merealisasikannya, pelari jarak jauh berusia 16 tahun itu mahu memanfaatkan setiap peluang yang diberikan ketika menyarung jersi Malaysia terutamanya di peringkat antarabangsa bermula Sukan Remaja Asia (AYG) 2025 di Bahrain dari 22 hingga 25 Oktober ini.
Syukri yang akan bertanding dalam acara 800 meter (m) enggan terlalu berkeyakinan tinggi, namun sedia memberikan larian terbaiknya di Stadium Nasional Bahrain, Riffa nanti.
“Saya ada impian besar dalam sukan olahraga. Saya nak wakil Malaysia lari di Olimpik tetapi saya kena realistik, ambil satu demi satu langkah bermula AYG, ASG (Sukan Sekolah ASEAN), Sukan SEA dan sebagainya.
“Saya nak ambil pengalaman, perasaan di AYG sebab ini kali pertama saya akan beraksi di pentas tinggi seperti ini. Boleh katakan AYG ini pentas awal untuk saya ukur kemampuan sebenar menentang pelari-pelari negara lain,” katanya.

Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning itu masih segar dengan kejayaan meraih dua pingat emas (800m, 1,500m) dan satu perak (2,000m lari berhalangan) dalam kategori bawah 18 tahun (B18) Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kangar, Perlis bulan lalu.
Syukri yang menjadikan atlet 800m kebangsaan, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari sebagai idolanya, kini meletakkan sasaran untuk memperbaharui catatan peribadi (PB) dalam acara 800m pada saingan AYG nanti.
“Masa dapat tahu terpilih memang terkejut, rasa tak percaya sebab ini akan jadi kali pertama saya ke AYG. Sekarang fasa latihan conditioning spesifik untuk AYG sebab saya nak dapatkan PB baharu di sana.

“Sudah tentu saya juga mahukan pingat tetapi saya sasarkan ke final dahulu. Kalau katakan dapat buat PB, mungkin peluang saya nak ke final cerah,” jelasnya.
Berdasarkan prestasi semasa, Syukri mempunyai potensi cerah untuk menyinar bukan sahaja dalam acara 800m tetapi juga 1,500m dalam perjalanannya menjadi aset berharga buat skuad olahraga kebangsaan pada masa depan.
Menariknya, abangnya, Muhammad Syafiq Nazim Mydin, 17, juga antara permata sedang digilap selepas dinobatkan sebagai Olahragagawa B18 MSSM 2025 menerusi pencapaiannya mencipta rekod baharu 2,000m lari berhalangan dan gangsa 1,500m. – KOSMO! ONLINE