KLANG – “Saya hanya mampu menjerit dan dukung cucu sekuat hati apabila siling jatuh depan mata.”
Demikian cerita Junuha Ajid, 75, berhubung detik cemas yang dialaminya ketika ribut membadai rumahnya di Jalan Haji Mohd. Sharif, Meru di sini, kelmarin.
Junuha berkata, kejadian berlaku pukul 5 petang ketika dia bersama cucunya, Rayyan Dzulkarnian Saiful Aznizam, 4, sedang tidur di ruang tamu. Seorang lagi cucunya, Raudah Afeeyah Saiful Aznizam, 3, pula menonton televisyen.
“Apabila berlakunya ribut, secara tiba-tiba siling jatuh hampir terkena kami. Saya segera mendukung Rayyan yang masih tidur dan bawa masuk ke dalam bilik. Raudah Afeeyah pula menangis.
“Ini kali pertama siling rumah jatuh akibat ribut. Angin lain macam, pokok pisang macam nak tumbang bila dijenguk dari tingkap,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Junuha, ribut itu turut menyebabkan beberapa keping atap rumahnya tercabut menyebabkan air hujan mencurah masuk ke ruang tamu.
Seorang lagi penduduk, Azizul Kasmin, 53, berkata, rumahnya turut mengalami kerosakan teruk apabila bumbung garaj tercabut hampir keseluruhan akibat ditiup angin kencang.
Ujarnya, semasa kejadian, hanya isterinya, Masni Maspal, 52 dan anak sulung, Aniq Akmal Azizul, 27, berada di rumah, manakala dia pula keluar berniaga di pasar malam di daerah ini.
“Anak saya beritahu ribut ‘datang’ dua kali. Kali pertama begitu kuat, tapi kali kedua bunyinya macam letupan. Bumbung tercabut.
“Saya yang sedang berniaga pun terkena tempias. Khemah hampir terbang, mujur sempat pegang,” katanya yang kerugian lebih RM10,000. – KOSMO! ONLINE